Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Isnin, 2 Februari. - Kira-kira 150 peserta daripada pelbagai organisasi, termasuk jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi kewangan, serta institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menghadiri Economic and Investment Outlook 2026 anjuran Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Dengan tema 'Progress Under Pressure - Opportunities Amid Global Strains', acara berkenaan menghimpunkan penceramah daripada sektor awam, swasta dan akademik untuk membincangkan trend dan perkembangan ekonomi dan pasaran, serta tinjauan bagi 2026 dan seterusnya.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB, yang juga menyampaikan ucaptama pada sesi berkenaan.
Turut hadir pada acara yang diadakan di Dewan Teater, MOFE berkenaan, Pengarah Urusan BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu; Setiausaha-setiausaha Tetap, serta ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan institusi kewangan tempatan.
Acara turut menyaksikan pembentangan khas daripada Profesor Madya, School of Business and Economics, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Hafezali bin Iqbal Hussain.
Sejajar dengan tema utama acara, Dr. Hafezali meneroka impak ketidakpastian dasar ekonomi ke atas rantaian bekalan global, di samping mengenal pasti jalan penyelesaian untuk kemajuan di bawah tekanan.
Beliau turut menekankan peranan keupayaan kebangsaan yang disasarkan dari segi kesiapsiagaan digital kapasiti inovasi, dan kedalaman sistem kewangan dalam mengukuhkan kedayatahanan dan membolehkan ekonomi mengharungi tempoh tekanan, sambil kekal berwaspada terhadap risiko yang berkaitan dengan teknologi baharu.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi perbincangan panel yang dipengerusikan oleh Pengurus Kanan, Pasaran Kewangan dan Perbendaharaan, BDCB, Dayang Maz Khairiyah binti Mohidin.
Ahli-ahli panel terdiri daripada Pemangku Ketua Pengarah, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, (JPES), MOFE, Dayang Heidi Farah Sia binti Abd. Rahman; Pengarah Urusan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Securities, Jason Wong; Pengurus Kanan, Ekonomi dan Pemantauan, BDCB, Dayang Siti Athirah binti Dato Seri Setia Haji Ali; dan Associate (Listed Assets), Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Dayang Sofia Ezzah binti Haji Amer Hamzah.
Para panel mengongsikan perspektif berbeza-beza mengenai cara menangani realiti global dan pasaran semasa. Strategi bagi membina kedayatahanan, termasuk merebut peluang pasaran dan memanfaatkan data untuk menangani kelemahan dan memperkukuh penyelarasan dasar turut dibincangkan.
Secara keseluruhan, panel menekankan kepentingan pendekatan kolaboratif yang menggabungkan kekuatan kewangan, inovasi, dan keupayaan penyesuaian, sambil memanfaatkan teknologi baharu dengan berhemat dan berwaspada terhadap risiko yang berkaitan.
Economic and Investment Outlook merupakan salah satu inisiatif utama BDCB untuk menggalakkan dialog dan pertukaran pandangan mengenai pelbagai topik berkaitan dengan ekonomi dan pasaran kewangan.